Julai 27, 2016

ACAR TIMUN TUMIS SARAWAK STYLE.. yang pasti sedap diganding dengan keropok.


SELAMAT PETANG SEMUA...
Alhamdulillah.. walaupun kemeriahan raya hampir ke penghujungnya tapi mood raya masih lagi terasa. Bila teringin nak makan semestinya terpaksa kita buat sendiri. Lama benar rasanya tak makan acar timun ni lebih lagi makan dengan keropok.
Kalau di sarawak dulu senang je nak dapat acar ni bila berziarah raya tapi sekarang susah nak jumpa mereka menghidangkan acar begini lagi. Begitu juga di supermarket ada pun harga nya agak mahal dan tak puas makan kalau botol kecil.

Sue memang suka makan acar ni dan kalau buat sendiri memang puas hati. Lebih lagi sekarang sini musim panas dan seronok dapat menjemur timun. Acar ni kalau timun tak di perah dan di jemur ianaya akan berair tapi jemur tu tidak lah sampai kering ye cukup untuk mengeringkan sahaja. Agak-agak dan ok boleh angkat lah. Kalau panas terik 2-3 jam dan cukup.

Sebenarnya acar ni mudah dan bahan-bahan pun simple. Sue masak mengikut citarasa sendiri tapi rasa dan lidah kita berbeza. Ada yang menggunakan rempah ratus juga untuk mendapat aroma. Lain orang lain citarasanya kan? Itu sebenarnya memainkan peranan untuk mendapat rasa yang betul-betul sedap. Kebiasaan rasanya mesti manis dan pedas. Nak tahu resepi jom...





Untuk versi yang basah ACAR TIMUN TUMIS


ACAR TIMUN SARAWAK
Resepi: Sue Norrman

Bahan-bahan
1kg timun - potong 4-5 bergantung pada saiz timun.
(buang empulur tengah dan hiris panjang. Rendam dengan garam dan air ais- Jangan hiris terlalu nipis)
2 batang lobak merah - potong nipis dan hiris panjang


Bahan kisar
7 biji bawang merah 
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 sdm udang kering - rendam dulu
2 biji buah keras

(A)
1-2 sdm cili giling
1/3 sdt serbuk kunyit
 Minyak secukupnya untuk menumis

(B)
Garam sedikit
Gula pasir dan gula merah secukup rasa
Cuka anggaran 1 susu makan - bergantung pada cuka
1 sdm cili sos
1 biji cili merah - hiris halus (kalau suka)

(C)
Sedikit bijan - sangai kuning

Tips>>
*Timun yang telah di rendam tadi di toskan kemudian di perah menggunakan kain kasar yang bersih. Perah jangan terlalu kering ye sebab nanti ianya akan di jemur lagi.
*Tabur atas talam dan jemur selama 1-2 jam bergantung pada cuaca. (jangan jemur terlalu kering)Manakala lobak merah juga di jemur sehingga layu sahaja.
*Bila dan siap semua di jemur baru bermula sessi menumis...


Cara
1) Tumis bahan A sehingga garing dan masuk bahan kisar. Tumis sehingga masak dan pecah minyak.
2) Kecilkan api dan asukkan bahan B, kacau sebati dan rasakan secukupnya. (Lebihkan manis dan ada rasa masam sedikit)
3) Masukkan timun dan lobak merah. Kacau sebati dan biarkan ianya masak dan pekat. (kalau terlalu pekat tambah air sedikit)
4) Rasakan lagi manisnya kalau kurang manis tambah lagi gula merah sehingga cukup rasa dan tutup api. Masukkan bahan C dan kacau sebati.


SELAMAT MENCUBA!


P/S: RASANYA KAN BERKURANGAN BILA DAH DIMASUKKAN TIMUN JUSTERU ITU KENA RASA SEKALI LAGI SELEPAS IANYA SEBATI.


KRAM







Julai 21, 2016

DONUT YOGURT.. tersangatlah gebu dan lembutnya!


ASSALAMUALAIKUM...
Hari ni sue nak kongsi resepi eksperimen yang sangat sedap dan menghasilkan donut yang sangat gebu dan lembut. Semalam sue cuba buat donut yogurt dengan campuran tepung jagung untuk mendapat tekstur yang halus dan lembut. Alhamdulillah.. menjadi dan sedap sangat. Walaupun tak de ring yang mahal di tengah tu tapi hasilnya memuas hati. Yang penting kena uli sampai betul-betul elastik dan lembut kalau nak mendapat hasil yang gebu.

Sue memang suka makan donut tak kesah donut apa pun tapi yang original di salut gula. Kalau yang ada topping coklat bagai memang kurang sambutan tapi sekadar nak mencuba ok lah. Hanya tinggal sebulan lagi sue akan kembali ke malaysia dan terpaksa menghabiskan stok takut nanti lama di tinggalkan jadi tak elok. Kali ni sue balik Insyallah sampai hujung tahun sehingga semua selesai. Doakan perjalanan sue di permudahkan dan Suami sue pula akan ke Japan ada tugasan selama 2 bulan. Rumah kembali sunyi dan kami berlepas pada hari yang sama cuma destinasi berbeza. So.. jom..


DONUT YOGURT GEBU
Resepi: Sue Norrman

Bahan-bahan
(A)
2 kuning telur
1/2 sdm yogurt (original)

(B)
300g tepung roti/ high protein
3 sdm tepung jagung 
2 sdm susu tepung
3 sdm gula halus/ kaster
1 sdt instant yis
3/4 sdt double acting baking powder (kalau tak ada guna 1 1/2 sdt baking powder) 
1/3 sdt bread improver 
1-2 titik butter oil (kalau tak ada ganti esen vanilla)

(C)
100ml air sejuk peti ais
Sedikit pewarna kuning 
( sebatikan)

(D)
1/2 sdt garam
2 sdm mentega/ marjerin

Minyak  secukupnya untuk menggoreng
Gula secukupnya untuk menggolek donut 




Cara
* Kalau menggunakan bread maker masuk bahan A, B, C dan uli sebati baru masukkan D dan uli sehingga elastik  Tapi kalau menggunakan mixer atau uli tangan masuk bahan ikut turutan.*

1) Masukkan bahan seperti pencerahan di atas dan uli sehingga betul-betul elastik.
2) Kemudian tutup dengan kain dan rehat sehingga doh naik 2 kali ganda.
3) Bila dan naik, tumbuk doh untuk buang angin dan timbang setiap satu seberat 65g.
4) Bulatkan doh, tabur sedikit tepung atas talam dan letak doh yang telah di bulat tadi.
5) Tutup doh dengan kain dan rehat lagi selama 20-25 minit sehingga doh naik.
6) Tekan sedikit permukaan doh supaya leper dan buat lubang (Terap dengan penutup botol).
7) Rehat lagi 10 minit sementara menunggu minyak betul-betul panas.
*Guna minyak jangan terlalu banyak dan api sederhana tapi pastikan minyak panas secukupnya*
8) Goreng donut selama lebih kurang 1 minit baru balik sebelah lagi. Balik setiap permukaan sekali sahaja supaya ianya cantik.
9) Setelah habis semuanya biarkan suam seketika boleh lah di golek dengan gula.


SELAMAT MENCUBA!

 KRAM



Julai 17, 2016

PIZZA SATAY ROTI NAAN..marbeles!


SALAM SEJAHTERA...
Alhamdulillah hari ni cuaca cerah 22 calcius tapi berangin. Semoga panasnya sampai ke petang boleh kering semua jemuran dan keropok ikan yang sue jemur semula setelah lama terperap dalam freezer. Bila selongkar freezer baru ingat masih lagi 3 kg keropok ikan kering yang sue dapat dari terengganu tahun lepas.

Memang sue tak ingat masih bersisa keropok lagi hihihi.. Itu tanda penuaan yang tidak dapat di sangkal lagi. Begitu juga dengan resepi pizza satay ni sue buat pada awal tahun sebelum sue balik malaysia mac lepas. Bila selongkar folder rupanya banyak resepi yang masih KIV. Sue dahulukan mana yang lama tertidur.

Pernah tak makan pizza guna roti naan? Sue pun baru pernah mencuba bila roti naan ada lebih 2 keping selepas dinner kami. Kuah kacang frozen dan ayam tikka sue olah menjadi naan satay ayam pizza. Pelik juga namanya kan tapi rasa memang mantop! Tak caya boleh cuba. Resepi semua dah ada dan sue bagi step ye untuk memudahkan teman. Kalau tak nak guna ayam tikka boleh aja guna satay yang sudah di panggang lagi sedaap rasanya. Jommm...




PIZZA SATAY ROTI NAAN
By: Sue Norrman

Bahan di perlukan
Roti naan secukupnya - terpulang nak guna banyak mana
Ayam tikka/ satay ayam - cincang kecil 
Kuah satay secukupnya
Cheddar cheese parut
Mozzarella parut secukupnya

Cara
*Panaskan oven pada suhu 180 degrees*
1) Sediakan roti naan. (Kalau roti yang sudah semalaman seeloknya sapu sedikit dengan air dan biarkan 5 minit baru sapu kuah kacang) Kemudian ambik sedikit kuah kacang sapu atas roti naan.
2) Tabur ayam yang telah di cincang dan tabur lagi kuah kacang atasnya (jangan terlalu banyak) diikuti tabur cheddar dan mozzarella.
3) Bakar selama 8-10 minit sehingga cheese cair. Bergantung pada oven masing-masing. Jangan terlalu lama nanti tekstur roti naan mengeras.
4) Keluarkan dan sedia untuk di makan.

SELAMAT MENCUBA!


KRAM




 



Julai 15, 2016

STEK SALMON DENGAN SOS DILL DAN KAVIAR


SELAMAT PETANG SEMUA...
Hari ni terasa penat dan berkerja di bawah terik matahari rasa nak pitam. Pagi2 dah sue potong rumput sekeliling rumah yang dan nampak menunjak panjang. Nak tunggu suami sue balik dari columbia belum tahu bila kerja dan tugasan nya selesai. Makin di tunggu makin rumput memanjang. Nak tak nak terpaksa lah kudrat ini juga dan hampir 2 jam baru siap.. nangis mak :(.

Semalam sue masak ni je untuk lunch dan dinner. Resepi yang sue nak entri ni resepi yang mudah dan sedap kalau suka western style. Steak guna pan je dan olive oil untuk menggoreng. Rangup di luar dan juicy isinya... Jom




Resepi Sos dill dan kaviar DISINI

STEK SALMON JUICY
Resepi: Sue Norrman

Bahan-bahan
2-3 ketul fillet salmon - cuci dan tos kering
Kosher salt sedikit - kalau tak ade guna garam halus pun boleh
Lada hitam - tumbuk kasar
1/2 sdm lemon jus
Sedikit serbuk paprika
Minyak Zaitun sedikit untuk menggoreng ikan.

Cara
1) Satukan bahan-bahan kecuali minyak dan rehatkan 5 minit.
2) Panaskan non stik pan dan masukkan sedikit minyak zaitun menggunakan api sederhana.
3) Bila dan cukup panas, masukkan ikan dan goreng seketika sehingga keperangan dan balik lagi sebelah. Jangan terlalu lama nanti tak juicy dan isinya menjadi keras. Angakat dan sedia untuk di makan bersama sos, kentang dan sayur.

Sampingan
Kentang rebus
Kacang peas - rendam seketika dalam air panas
Brokoli/ cauliflower
Lobak merah - rebus seketika

SELAMAT MENCUBA!


 KRAM

Julai 14, 2016

FRIED SWEET PASTRIES..wow sangat sedap!


ASSALAMUALAIKUM...
Apa khabar semua? Tidak terasa kita dah berada di syawal yang ke-9. Alhamdulillah Kita dah merayai hari kemenangan setelah sebulan kita berpuasa. Kalau kami orang sarawak di penghujung syawal masih ada yang yang berkunjung. acara open house tu memang tak putus undangannya. Tapi bila dah merantau terasa rindu dengan kemeriahan dan suasa begini.

Ok! semalam sue buat kudapan simple untuk santai petang duduk bawah pokok. Lagipun cuaca kembali cerah dan panas. Kudapan yang mudah dan sangat sedap sekali celup dalam coklat. Ala-ala churos gitu tapi tekstur sweet pastries ni seakan donut lembut di dalam dan manis. 

Sue olah sendiri resepi mengikut citarasa dan potong panjang supaya macam jejari senang untuk di makan. cara menggoreng kita buat macam cakoi kena tarik sikit supaya panjang dan cantik selepas di goreng. Terpulang nak makan gitu aja atau celup dengan coklat tapi sue lebih suka di celup dengan coklat terasa lemak manis dan nikmatnya..


FRIED SWEET PASTRIES
Resepi: Sue Norrman

Bahan-bahan
(A)
3 biji telur A
2 sdm gula kaster

(B)
190g tepung roti/ high protein
3/4 sdt serbuk penaik
1/3 sdt garam halus

Minyak secukupnya untuk menggoreng
Gula pasir secukupnya - kisar halus untuk menggolek pastries

Cara
1) Pukul bahan A sehingga pekat dan putih.
2) Masukkan bahan B sedikit -sedikit sehingga rata.
3) Kemudian masukkan kedalam plastik dan bungkus rapi. Sejukkan selama 20-25 minit dalam peti sejuk (bukan beku)
4) Keluarkan dan tabur sedikit tepung pada papan pencanai untuk memudahkan proses menggiling.
5) Giling sehingga  3-5 mm tebal dan potong sebesar jari yang paling kecil. Ukuran  Panjang terpulang tapi secantiknya dalam 6cm.
6) Selepas di potong tabur sedikit tepung supaya ianya tidak melekat antara satu sama lain.
7) Panaskan minyak secukupnya sehingga betul-betul panas dengan api sederhana (macam menggoreng donut).
8) Ambil satu dan tarik panjang (jangan sampai putus) dan masukkan kedalam minyak panas tadi. Gorang sehingga kuning dan angkat.
9) Biarkan suam seketika dan boleh di salut dengan gula.
10)Sedap di makan ketika panas dan sejuk juga sedap dicelup dalam coklat.






DIPPING COKLAT Sue Norrman

Bahan-bahan
(A)
100g dark cooking coklat (coklat masakan) 

(B)
11/2 sdm minyak masak
3 sdm whipping cream (dairy)
3 sdm air mineral

Cara
1) Cairkan bahan A dalam microwave dalam 1-2 minit.
2) Keluarkan dan kacau sebati dan masukkan bahan B satu persatu. (minyak - krim - air)
3) Kacau sebati lagi dan sedia untuk di gunakan.

SELAMAT MENCUBA!
 


Julai 11, 2016

Kuah kacang Yang Sangat Sedap: bersama tipnya


ASSALAMUALAIKUM.. Salam lebaran.
Alhamdulillah dan sekarang semua dan kembali ke sekolah dan pejabat. Memang tidak terasa kan kita dah hari ke-6 syawal. Tapi kalau tradisi kami orang sarawak hari ke 8 -10 masih berziarah seperti biasa siap dengan baju melayu dan samping juga.
Bila dah berjauhan begini suasana dan hidangan raya menjadi kerinduan.  Apa pun tiada yang mustahil kalau ada kemahuan kan?
Kuah kacang atau kuah satay kebiasaan orang sarawak panggil ini sue buat 3 hari lepas bila teringin sangat tengok kawan-kawan makan satay, nasi himpit bagai. Sebenar kalau ikut kemalasan memang tak makan lah jawabnya pasal kita malas nak menggoreng kacang tu hihihi.. Keinginan memuncak kita gagahi juga buat sedikit dan selebihnay kita beku untuk stok kalau teringin nak makan lagi. Insyallah kalau di bekukan ianya tahan dan rasanya masih kekal sedap. 
Kuah kacang yang menjadi kesukaan keluarga dan sesiapa sahaja yang bertandang ke rumah ketika hari raya dan merupakan menu wajib juga. Insyallah kalau betul cara masak kacangnya ianya menjadi lebih sedap. Tips sue sertakan bersama resepi dan kalau nak kuah kacang tahan lama dan sedap ikut tips nya ye! memang berpuas hati. Jom...


KUAH KACANG SEDAP
Resepi: Sue Norrman

Bahan-bahan
500g kacang tanah - goreng tanpa minyak/ sangai sehingga kuning dan cukup masak - kisar jangan terlalu halus
Air secukupnya untuk merebus kacang

(A)
2-3 sdm cili giling - Nak pedas tambah lagi
1 sdm tomato puree
Minyak secukupnya untuk menumis (kena lebih sikit supaya bawang masak dan kuah cantik)

Kisar halus
10 biji bawang merah ros
2 biji kecil bawang holland/ bombay
3 ulas bawang putih
1 inci halia
4-5 inci lengkuas - hiris nipis
2 batang serai - hiris nipis 

(B)
Air asam jawa secukupnya
Garam secukup rasa
2 sdm gula pasir (+-)
1 keping kecil gula melaka


TIPS:-
*Rebus kacang yang telah dikisar bersama dengan air. Anggaran air mesti lebih dan rebus menggunakan api sederhana sehingga air separuh dan nampak kacang kembang. Tambah lagi air seperti permulaan dan rebus lagi.
Ulang proses menambah air dalam 3-4 kali sehingga kacang mengeluarkan minyak. Bila ianya cukup masa merebus akan nampak minyak dari lemak kacang timbul  pada permukaannya dan boleh tutup api. Kena sabar masa merebus dan sentiasa di kacau takut kacang menurun dan hangus di bawahnya. 
Ambik masa dalam 30-40 minit untuk merebus dan kacang menjadi kenyal bila di makan dan kuahnya menjadi sedap bila sudah di masuk bahan tumisan nanti. Seeloknya kuah kacang ini kita masak malam sebelum ada acara dan biarkan ianya semalaman dan esok baru di makan dan rasanya lebih sedap. Untuk perbezaan rasa boleh di cuba selepas di masak dan keesokannya.*


CARA
1) Tumis bahan A sehingga garing dan pecah minyak.
2) Kemudian masukkan bahan kisar dan tumis menggunakan api sederhana sehingga kuning dan betul-betul pecah minyak. Kalau kurang minyak tambah lagi sedikit minyak untuk memudahkan bawang masak.
3) Masukkan kedalam rebusan kacang tadi. Kacau sebati dan masak lagi menggunaka api kecil sehingga mendidih.
4) Boleh masukkan bahan B sedikit terlebih dahulu untuk mendapat rasa yang menepati.  Kuah kacang ini kena manis sedikit sebab kalau ianya sudah sejuk rasanya akan berubah.
5) Lanjutkan sedikit masa sehingga mendidih lagi dan tutup api.
6) Biarkan semalaman dan esok boleh di panas lagi untuk dihidangkan.


SELAMAT MENCUBA!


SATAY AYAM SEDAP DAN MUDAH


SELAMAT PAGI...
Satay lebaran untuk melepas hajat di hati.. Kita buat untuk makan sendiri dan Alhamdulillah  habis juga hihihi.. yang penting rasa kena ada. Manakala nasi himpit sue buat sehari sebelum bersama dengan kuah kacang DISINI. Nasi himpit sue padat dalam kontena sahaja lagipun buat tak banyak mana pun, cukup untuk sekali makan. Daging dan ayam sue perap semalaman dalam peti sejuk untuk mendapat rasa yang enak dan proses membakar pun tak lama so isinya tak kering. Sekejap je pasal ianya dan serap bahan dan rempah. Insyallah..


SATAY AYAM  JUICY
Resepi: Sue Norrman

Bahan-bahan
3 ketul isi dada ayam - potong dadu sedang (jangan terlalu kecil) 
Lidi satay secukupnya - rendam dengan air terlebih dahulu dalam 30 minit.

Kisar halus
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia
2 batang serai - hiris nipis dahulu
1/2 sdm biji ketumbar - sangai
1/2 sdm jintan putih biji - sangai
1 sdt jintan manis biji - sangai

(A)
1 sdt serbuk kunyit
2 sdm golden syrup atau 1 sdm golden syrup + 1 sdm madu
Garam secukup rasa
1/2 sdm gula pasir
1 sdm sos cili
1 sdm sos tomato

CARA
1) Masukkan isi dada ayam yang telah di potong ke dalam bekas/ kontena.
2) Kemudian tmasuk bahan kisar dan gaul sebati. Diikuti bahan A dan sebatikan lagi.
3) Tutup kontena dan perap semalam dalam peti sejuk.
4) Bila dah selesai semua sisi ayam di cucuk dalam lidi boleh lah di panggang.
5) Sediakan sedikit minyak dan serai yang telah di ketuk dalam 2 batang untuk merinjis ayam nanti.
6) Panggang jangan terlalu lama dan cukup bila keperangan.


 SELAMAT MENCUBA! 

KRAM



Julai 07, 2016

RENDANG DAGING SEDAP DAN SIMPLE


ASSALAMUALAIKUM..
Selamat hari raya maaf zahir dan batin dari kami di Sweden. Mohon maaf dan ampun andai ada tutur bicara yang menguris hati sepanjang kita berceloteh di alam maya ini. Alhamdulillah tak terasa dah kita menyambut aidilfitri hari kedua. Sue masih beraya sendirian tapi adalah menyediakan sedikit juadah untuk sarapan di pagi hari raya semalam. Rendang daging sue dah buat awal dan bekukan sahaja. Manakala lemang kukus sue buat malam raya dan selebihnya sue bekukan untuk open house hujung minggu nanti. 
Rendang ini sue buat ikut citarasa sendiri dan salah satu favorite juadah sue kalau hari raya. Rendang yang tak payah di tumis ala rendang tok dan rebus sehingga empuk saja. Sue suka buat garing sedikit dan makan dengan lemang ala serunding gitu memang sedap!. Walaupun berada di perantauan tapi ianya bukan alasan untuk tidak berhari raya kan?.. Alhamdulillah..


Resepi lemang kukus DISINI


RENDANG DAGING SEDAP
Resepi: Sue Norrman

Bahan-bahan
1 kg daging batang pinang - hiris sedang
3 helai daun limau purut - buang tulang tengah
5 helai daun kunyit - buang tulang tengah dan carik 3-4
1 kg santan pekat
3-4 sdm cili giling
3 sdm kicap lemak manis
1 inci belacan bakar
2 kuntum bunga lawang
1 batang kecil kulit kayu manis

Kisar halus
3 biji bawang bombay
3 ulas bawang putih
2 inci halis
3-4 inci lengkuas
3 batang serai
1 inci kunyit hidup (kalau tak ada ganti dengan serbuk)
1 sdm jintan putih biji - sangai
1 sdm ketumbar biji - sangai
1/2 sdm jintan manis biji - sangai

(A)
5 sdm kerisik
1 keping gula melaka
Garam dan gula secukup rasa
Air asam jawa secukupnya


Cara
1) Satukan bahan kisar dan bahan-bahan daging sehingga sebati.
2) Masak atas api sederhana sehingga air santan separuh kering.
3) Kemudian masukkan bahan A dan rasakan secukuponya dan masak lagi sehingga daging empuk dan masak secukupnya.
4) Kalau suka berkuah boleh tutup api bila santan dan separuh selepas masuk bahan perasa dan kalau suka agak kering lanjutkan sedikit masa memasak.
5) Sedia untuk di sajikan bersama lauk pauk yang lain.


SELAMAT MENCUBA!


KRAM

LALAPAN AYAM DAN SAMBAL TOMATO YANG SANGAT SEDAP


ALHAMDULILLAH..
Lama benar rasanya tak makan lalapan ayam ni sama sambal tomato. Anak-anak sue sangat suka makan lalapan ayam ni dan sambal tomato sue biasa buat sampai 2 kg tomato. Cukup dengan set ini sahaja anak-anak berselera. Biasanya sue buat untuk juadah hari raya haji untuk tetamu. Ada kambing, daging dan ayam tapi ikan kurang sambutan. Berselera mereka makan dengan ulaman dan nasi selalu kehabisan terlebih dahulu hihihi.. Idea dan ilham dari sue sendiri tak ada formal sukatannya. Kita main campak dan anggaran sahaja tapi nak bagi resepi kena betul bahan dan sukatan ya dak? Insyallah... Jom cuba..


LALAPAN AYAM SEDAP
Resepi: Sue Norrman

Bahan-bahan
(A)
3-4 ketul paha ayam saiz sedang - cuci dan toskan
1 sdt serbuk kunyit
1/2 - 1 sdm cili giling
Garam, gula dan perisa secukup rasa

Kisar halus
2 biji bawang bombay
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
3 batang serai - hiris nipis dahulu
1 sdm jintan putih biji
1/2 sdm biji ketumbar
1/2 sdt jintan manis
5 helai daun limau purut - buang tulang tengah terlebih dahulu


Cara
1) Satukan bahan A dahulu dan masukkan bahan B. Gaul sebati dan perap selama 2 jam dalam peti sejuk.
2) Kemudian panaskan kukusan dan kukus ayam yang di perap tadi bersam bahan perapan yang selebihnya.
3) Kukus dalam 20-30 minit sehingga masak supaya isinya lembut dan tidak mengambil masa yang lama untuk di goreng.
4) Biarkan sejuk dan boleh di goreng dalam minyak yang penuh dan betul-betul panas sehingga keperangan.
(Goreng ayam dahulu dan bahan perapan asingkan dan goreng kemudian. kalau suka jadikan sebagai bumbu  atas ayam dan ianya garing)


SAMBAL TOMATO 
Bahan-bahan
2 biji cili merah - potong kecil
5 biji cili padi - patah 2
5 biji bawang merah - belah 4-6
2 ulas bawang putih - hiris nipis
2-3 inci belacan
5 biji tomato ranum - potong 6-8 bergantung pada saiz tomato
Minyak secukupnya untuk menggoreng
Garam dan gula secukup rasa
Jus limau kasturi secukupnya ( Kalau nak masam)

Cara
1) Goreng satu persatu bahan - bahan dan tumbuk halus. Akhir sekali masukkan tomato yang sudah di goreng dan lenyek halus.
2) Masukkan perasa dan rasa secukupnya. Masam, masin dan manis secukupnya. Kalau nak masam tambah lagi jus limau dan sedpa di makan sama ulaman dan calit dengan ayam.


Bahan Ulaman
Timun
Kobis
kacang panjang
Bayam - celur
kangkung - celur
Ulam raja


SELAMAT MENCUBA!

IKAN SALMON RANGUP SAMA KENTANG MENTEGA


SELAMAT PAGI..
Baru berkesempatan update memandangkan keadaan yang tak berapa sihat. Menu yang simple dan mudah untuk berbuka 2 hari sebelum aidilfitri. Malas nak makan nasi so dengan kombinasi kentang dah cukup sebagai penganti nasi. Sedap sekali dan ikan sue goreng dengan minyak zaitun dan mentega sedikit garing supaya rangup. Cubalah.. 


KENTANG MENTEGA
Resepi: Sue Norrman

Bahan-bahan
(A)
4-5 biji kentang yang saiz kecil -kupas dan rebus empuk

(B)
2 sdm mentega
10 tangkai daun bawang - potong jangan terlalu kecil
1/2 biji bawang besar - hiris panjang nipis
Sedikit garam dan serbuk perisa (rasa terlebih dahulu sebelum masuk garam)

Cara
1) Rebus bahan A sehingga empuk.
2) Kemudian buangkan air rebusan dan biarkan suam seketika.
3) Belah 2 atau 4 bergantung pada saiz kentang dan masukkan kedalam periuk kembali.
4) Masukkan bahan B - mentega sahaja dan masak lagi di atas api kecil sehingga keperangan.
5) Bila dan perang masukkan bahan selebihnya. masak dalm 2-3 minit lagi dan tutup api.
6) Sedia untuk di makan bersama ikan salmon. bawang dan mentega boleh  di tabur atas ikan tadi sebagai sos.



IKAN SALMON RANGUP
Bahan-bahan
2-3 ketul isi ikan salmon (kalau ada yang masih berkulit lagi sedap)
Sedikit lada hitam- tumbuk kasar
Sedikit garam
Sedikit serbuk cili/ cayenne pepper/ paprika
Secubit gula
3 sdm minyak zaitun + 2 sdm mentega/ marjerin untuk menggoreng*

Cara
1) Gaul sebati bahan-bahan kecuali minyak pada isi ikan dan perap 10 minit.
2) Kemudian panaskan minyak kedalam non stik pan  dan masukkan ikan tadi.
3) Goreng sehingga garing dengan api sederhana sehingga keperngan dan balik sebelah lagi sehingga masak.
4) Hidang ketika masih suam bersama kentang mentega dan lebihan mentega yang di masak bersam dengan kentang dan daun bawang.


SELAMAT MENCUBA!

Julai 02, 2016

GRILLED BEEF FOLDOVER ALA MC DONALDS


SELAMAT PAGI SEMUA...
Foldover yang sue buat 2 hari lepas ala McD lah untuk berbuka. Sendirian di rumah ok lah so masak ala kadar je. Diakhir ramadhan ini semua dah sibuk balik kampung bersama keluarga kan? Beginilah nasib kami di perantauan menghitung hari nak beraya juga. 
Berbalik pada foldover, roti arab yang sue buat sendiri tanpa masuk oven. Sue cuma guna non stik pan dan masak atas dapur aje. Cantik dan lembut juga kejadiannya. Yang lain tu sue olah sendiri mengikut citarasa yang sesuai untuk di gandingkan dengan daging. jom tengok resepi...


GRILLED BEEF FOLDOVER
Resepi: Sue Norrman


Untuk resepi roti arab juga DISINI

BAHAN ROTI
(A)
11/2 sdt instant yis
3/4 cawan air suam
1/2 sdt gula

(B)
350g tepung roti (boleh juga guna tepung gandum)
1 sdt serbuk penaik
3/4 sdm gula halus/ pasir
1 sdt garam
3/4 cawan air suam
2 sdm minyak zaitun/ minyak masak biasa*

Cara
1) Satukan bahan A dan biarkan sehingga yis kembang.
2) Masukkan ke dalam bread maker atau mixer dan masukkan bahan B kecuali yang bertanda (*) sedikit-sedikit dan masukkan air sehingga sebati. 
3) Bila dah sebati baru masukkan (*) dan uli sehingga lembut dan elastik.
4) Rehatkan doh sehingga naik 2 kali ganda. Tumbuk doh untuk membuang angin dan boleh lah dibahagi kepada 6.
5) Tabur sedikit tepung di dalam tray dan bulatkan doh tadi. Tabur lagi sedikit tepung diatas doh yang telah dibulat dan tutup dengan kain.
6) Rehatkan lagi doh selama 20-30 minit.
7) Ambil satu doh dan giling nipis sebesar yang dapat dan cucuk dengan garfu di permukaan doh tadi.
8) Panaskan non stik pan dengan api sederhana sehingga panas dan letak doh tadi dan masak selama 5-8 minit sehingga ianya keperangan dan balik lagi sebelah sehingga masak. Buat sampai habis.


BAHAN DAGING
300g daging cincang
1/2 sdt lada hitam
1/2 sdt kryddpeppar/ mixed spice
1 sdm whipping krim/ susu segar
1/2 ketul kiub lembu
Garam dan gula secukup rasa

Cara
1) Kisar semua bahan menggunakan food processor sehingga daging hancur sepenuhnya.
2) Kemudian padatkan menjadi seketul macam doh dan digiling. Lapik dengan plastik supaya tidak melekat atau bahagi kepada beberapa ketul dan tekan dengan jari menjadi kepingan daging burger gitu.
3) Panaskan pan dengan sedikit mentega dan letak 2-3 keping daging tadi. Masak sehingga keperangan dan tutup api.
(Boleh juga guna daging burger yang dah sedia ada dijual di supermarket)


SOS PEDAS
Bahan-bahan
3 sdm plain yogurt
1-2 sdm sour cream
2-3 sdm fresh milk
1 sdt mayonis
1 sdt cayenne pepper
1/2 sdt serbuk cili
1-2 sdt jus lemon/ lime/ limau kasturi
1 sdm pickled cucumber - cincang halus (ada jual di supermarket. Kalau tak ada guna timun biasa, buang empulur tengah dan cincang halus)
Garam sedikit
2-3 sdt gula

Cara
1) Satukan semua bahan-bahan dan rasakan secukupnya. 
2) Kalau masih pekat tambah lagi sedikit susu segar dan rasanya mesti manis sedikit.
3) Sedia untuk digunakan dan lebihan boleh di simpan di dalam peti sejuk.



SELAMAT MENCUBA!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...