Ogos 08, 2016

ROTI NAAN CHEESE YANG LEMBUT step- by- step



ALHAMDULILLAH...
Hari ni sue makan breakfast, lunch dan dinner sekali jalan. Makan set begini memang mengenyangkan lebih lagi kalau ada cheese. Teringin punya pasal kita gagahi juga dan berpuas hati. Gandingan roti naan cheese + tzatziki memang sedap sekali lebih lagi dengan kacang pool. Mungkin tzatziki jarang kita jumpa di malaysia tapi sebenarnya ianya sangat mudah sekali di buat. Rasanya masam sedikit tapi sedap. Asasnya menggunakan timun parut, bawang putih dan yogurt tapi kali ni sue  hiris je timun lagi sedap rasanya macam makan acar hihihi..

Roti naan versi cheese ni dah 4-5 kali sue buat makan dengan kacang pool. Suami sue sangat suka dan sue pernah hidang untuk tetamu. Hidangan yang mudah dan pasti kenyang sampai malam dan ianya tidak mengambil masa yang lama untuk disediakan. Kali ni roti naan sue tak menggunakan buttermilk sebab kehabisan susu so sue menggunaka air suam dan yogurt. Teksturnya tetap lembut dan sedap yang penting uli kena sampai lembut ye baru rotinya lembut... Resepi step by step sue sertakan sebab terlebih rajin hari ni huhu..

Untuk versi roti naan buttermilk DISINI
 Kacang pool DISINI


ROTI NAAN CHEESE LEMBUT
Resepi: Sue Norrman

Bahan-bahan
150g tepung roti/ gandum
1/4 sdt instant yis
1/2 sdt serbuk penaik/ baking powder
1/ sdm gula pasir
1/ sdt madu
1 sdm plain yogurt
1/2 sdt garam halus
1 sdm minyak masak
100ml(+/-) air suam*

Mozzarella parut secukupnya


Cara>>


Satukan bahan-bahan kecuali (*). Gaul sebati dan masukkan (*) sedikit-sedikit sehingga habis dan uli lagi sehingga lembut dalam 15-20 minit. Rehatkan doh selama 30 minit dan tabur sedikit tepung atas permukaan doh dan tutup dengan kain atau plastik.


 Bahagi doh kepada 2 bahagian dan bulatkan. 



Panaskan non stik pan pada api sederhana terlebih dahulu kemudian tabur sedikit tepung pada papan pencanai dan giling doh tadi me. Jangan giling doh terlalu nipis - agak-agak ye! Isi mozzarella dan tutup balik dan bulatkan lagi.



 >> Ni selepas di isi mozzarella dan ditutup rapi



Giling lagi doh yang berisi cheese tadi seperti gambar di atas. Jangan giling nipis nanti pecah dan tak cantik.



Masukkan doh yang telah digiling tadi, tutup dengan tudung periuk sekejap dan biarkan ianya naik seketika dan balik sebelah bahagian lagi supaya ianya masak serata. Ulang cara yang sama sehingga habis.




Angkat dan boleh lah di potong dan sedia untuk di hidang bersama menu sampingan.





   TZATZIKI



 
Bahan-bahan
200ml turkish/ greek/ plain yogurt
1 mangkuk timun yang telah di potong nipis (buang empulur tengah)
2 ulas bawang putih kecil - tumbuk halus
1 sdm jus lemon
1/2 sdt gula 
Garam secukup rasa
Daun dill secukupnya
Lada sulah sedikit 

   
        


*Satukan semua bahan dan gaul sebati. Sejukkan dan sedia untuk dimakan.*


SELAMAT MENCUBA!


KACANG POOL SEDAP dengan roti naan cheese.



FOUL MEDAMES... mungkin nama nya agak jangal di kalangan orang kita tapi lebih femes kalau dengan nama kacang pool semua kita tahu kan? Salah satu masakan yang tidak asing lagi di kalangan kita orang malaysia. Berbagai cara dan citarasa yang berbeza kita olah untuk menjadikan ianya lazat.

Kacang pool ni sue beli seminggu yang lepas di kedai arab yang baru buka tidak jauh dari tempat sue tinggal. Kedai yang agak besar dan terdapat berbagai-bagai jenis pilihan yang datang dari berbilang negara middle east dan europe. Tapi kebanyakannya dari middle east dan seronok juga cuci mata. Sue beli 5 tin kacang pool dengan brand yang berbeza dan harga pun tidak mahal. Salah satunya kacang yang sue guna ni dan terkejut pula bila buka tin ternampak besar nya mak oii kacang nya. Tidak pula tulis extra macam size macam sejenis yang sue beli juga. 

Tak pa lah ynag penting ianya dapat di makan dan berpuas hati. Tiada yang kurangnya cuma saiznya agak besar sedikit. Manakala teksturnya sangat lembut dan masak pun tak boleh lama takut hancur. Kali ni sue masak taco style yang perencahnya pun sue beli di kedai arab yang sama. Hari ni sue masak ikit anak tekak dan di ganding dengan cheesy naan dan tzatziki. Wallah.. sedapnya!! Resepi jom..

Roti naan cheese DISINI

KACANG POOL SEDAP
Resepi: Sue Norrman

Bahan-bahan
1 tin kacang pool - kalau tak ada boleh ganti baked bean (tomato)
Cili benggala (warna ikut suka) - potong dadu kecil
1 biji tomato ranum - potong dadu kecil

(A)
1/2 biji bawang besar - cincang
2 ulas bawang putih - cincang
1 biji bawang merah - cincang
1 biji cili merah - hiris halus
1 sdm cili giling - nak pedas letak lebih
Minyak secukupnya untuk menumis

(B)
300g daging cincang (mince beef)

(C)
2 sdm perencah taco (taco powder halal)
1 sdm tomato puree 
1/2 cawan air sejuk

(D)
Serbuk perasa
Garam dan gula secukup rasa


Cara
1) Panas minyak dalam kuali, masukkan bahan A dan tumis sehingga bawang layu dan kuning.
2) Masukkan bahan B dan kacau/ tumis sehingga daging bertukar warna.
3) Kemudian masukkan bahan C satu persatu dan kacau rata.
4) Bila dah mendidih masukkan bahan D dan bahan utama (kacang pool, cili benggala, tomato).
5) Biarkan mendidih  lagi dalam 5-6 minit dan tutup api.
6) Hidang bersama roti bakar atau roti arab, pita dan naan. 

SELAMAT MENCUBA!

KRAM


Ogos 07, 2016

IKAN SARDIN PANGGANG ASAM JAWA cicah sambal belacan tumis.


Inilah menu sue hari ni dengan ikan panggang dan sambal belacan tumis. Ikan sardin sue beli minggu lepas di kedai arab tapi yang frozen. Alhamdulillah walaupun frozen tapi rasanya masih sedap dan tidak berbau. Tekak pula teringin nak makan ikan cicah sambal belacan tumis dan dapat dijadikan sambal ulaman juga.

Ikan nya sue perap dulu dengan asam jawa campur sedikit air selama 30 minit untuk mengeraskan sedikit isinya sebelum di panggang. Kebiasan ikan selepas di beku bila di panggang ianya akan lembik. Sue memanggang ikan ni satu jam lebih hanya menggunakan asap panas saja. Buat cara smoked lah tapi kalau nak buat smoked kena lama lagi.

Kejadiannya cantik dan harum sekali baunya. Bila dah masak tak sabar pulak nak makan tapi sue terpaksa kontrol nasi tak nak ambil lebih. cukup hanya satu mangkuk dan lebihan ikan sue buat ratah dan makan sama ulama. Nak cuba resepi tak? Mai kita tengok...


IKAN SARDIN PANGGANG ASAM JAWA
Resepi: sue Norrman

Bahan-bahan
2-3 ekor ikan sardin - buang insang, sisik dan kotoran dalam perut ika
Sedikit serbuk kunyit
Sedikit garam
Asam jawa sedikit (guna yang ada biji) + sedikit air

*Satukan bahan dan lumur rata pada ikan. Perap 30 minit dan buang biji asam jawa dan panggang seperti biasa*



SAMBAL BELACAN TUMIS
Kisar/ tumbuk halus
3 biji bawang merah
1 ulas bawang putih

(A)
2-3 sdm cili giling
1-2 inci belacan - bakar dulu
Minyak secukupnya untuk menumis

(B)
Garam sedikit
2 sdt gula pasir

Limau kasturi secukupnya (perah dalam sambal ketika makan)

Cara
1) Tumis bahan A menggunakan api sederhana sehingga garing dan masukkan bahan kisar.
2) Kacau lagi sehingga pecah minyak dan masukkan bahan B.
3) Rasa secukupnya dan tutup api.
4) Perah limau kasturi bila nak makan. Lebihan sambal boleh di simpan.


Sampingan
Ulaman kesukaan kalian 


SELAMAT MENCUBA!

KRAM


SALAD BUAH SIMPLE.. untuk sarapan pagi.


ASSALAM...
Hujung minggu yang ceria dan mood sarapan pun melayang. Tak tahu nak makan apa untuk sarapan sebabnya plan nak makan nasi sebelah petang nanti. Jadinya tak nak makan sarapan yang heavy. Bila tengok di jendela cuaca cantik dan dan cerah terfikir pulak sedap kalau makan salad dengan roti aja sambil duduk bawah pokok epal hihihi.. tempat santai yang sempoi dan dami sekali.

Tak fikir panjang sue terus potong buah campur sengan sedikit cheese memang khas untuk salad dan perahan jus lemon sikit untuk menabah rasa tembikai. Sekeping roti campuran kekacang dengan smoked salmon dan yogurt pisang. kenyang juga  makan yang simple gini dan sesuai sangat untuk musim panas. Resepi yang mudah tak da proper sukatan sue potong ikut suka aja. Yang nak mencuba boleh campur buah kesukaaan kalian ye.


SALAD BUAH... idea untuk sarapan.
By: Sue Norrman

Tembikai merah/ kuning - terpulang nak guna kedua2 pun boleh . buang kulit dan potong dadu.
Tembikai susu - buang kulit dan potong dadu
Cherry tomato
Crispty sallad 
Cheese untuk salad (tak ada abaikan)
Jus lemon sedikit

*Letak buahan dalam mangkuk, tabur cheese dan perah lemon.*

SELAMAT MENCUBA!


Ogos 06, 2016

SERI KAYA PANDAN HOMEMADE.. enak ala kopitiam


ALHAMDULILLAH...
Semalam sue teringin nak makan roti kawen tapi tak ada serikaya. Stok pun memang tak ada bukan nya kehabisan tapi memang tak beli. Roti pulak ada satu loaf besar dalam 2.3 kg yang somi sue beli sebelum ke japan 2 hari lepas. Nak buat cam mana kan  terpaksa lah buat sendiri jawabnya.

Resepi yang mudah dan pasti enak memang mencukupi citarasa yang sue inginkan. Rasanya seakan serikaya homemade yang di jual di kedai roti. Tapi kenalah bersabar kalau nak mendapat tekstur dan hasil yang cantik. Rasanya dalam 3 jam juga sue masak serikaya ni. Lebih lama kita masak lebih tahan hayatnya tapi tak risau hangus sebab menggunakan keadah double boiler. Cuma air tu kita kena periksa selalu takut kekeringan nahas jadinya. Bertambah satu bala kan?

Resepi sue olah sendiri cuma menggunakan pandan paste aja. Nak guna daun pandan tapi dah frozen nanti rasanya tak berapa sedap. Kalau untuk masak dan mewangi masakan ok no problem tapi untuk mendapat jus nya maaf ye tak gerenti hamba. Nanti kalau ada daun pandan fresh sue akan buat lagi dan resepi pasti akan menyusul dengan menggunakan jus pandan pulak. Setakat ni menggunakan pandan paste pun dan cukup sedap. Tak percaya kena cuba buat baru tau sedap ke idak hihi..


SERI KAYA PANDAN HOMEMADE
Resepi: Sue Norrman

*Dapat satu botol dalam 500-600g*

Bahan-bahan
(A)
250ml santan pekat
300g gula pasir (sue guna gula kaster dalam 380g - sebabnya gula kami tak manis bukan dari tebu)

(B)
5 biji telur gred B - pukul hancur saja
1 sdt tepung gandum
1/2 sdt pandan paste
1/2 sdt esen vanilla

Cara
*Didihkan air kedalam periuk dengan api sederhana terlebih dahulu*
1) Kacau bahan A sehingga gula hancur.
2) Kemudian masukkan bahan B satu persatu dan kacau sehingga sebati. Tapiskan.
3) Tuang kedalam periuk bersih dan letak atas periuk yang berisi air mendidih tadi. Kacau selalu supaya ianya sebati dan rata sehingga pekat dan berkilat. tutup api dan biarkan atas periuk berisi air tadi sehingga air sejuk dengan sendirinya.
4) Bila dan sejuk boleh masukkan ke dalam botol kaca atau kontena kedap udara. Simpan dalam peti sejuk.
5) Sarapan dan minum petang dah lengkap untuk roti kawen ala kopitiam..

SELAMAT MENCUBA!

KRAM



BIHUN GORENG SINGAPORE.. mudah dan sedap




Siang yang mendung dan berangin hari ni.. Seredup hati yang teramat rindu dengan keluarga di Malaysia. Tapi akan daya jarak memisahkan dan Insayallah dalam masa yang terdekat sue akan terbang ke tanahair ku tercinta.. 

Alhamdulillah  seadanya dan masih di beri kesihatan yang sihat untuk melakukan rutin harian. Hari ni menu sarapan yang special lah konon dengan bihun goreng singapore. Masak untuk seorang tapi masih berlebih juga tapi boleh simpan tinggal  panaskan lagi. Bihun ni sue guna daun bayam sebab kehabisan stok daun kucai tapi sedap juga. Sebenarnya letak sayur apa pun memang sedap cuma nak kelainan rupa saja yang membezakannya, betul tak?


BIHUN GORENG SINGAPORE
Resepi: Sue Norrman

Bahan-bahan
1/2 paket bihun - rendam semalam. buang air dan tos kering
1 mangkuk kobis yang telah dihiris halus
1/2 mangkuk lobak merah yang telah do potong kecil (sebenar batang mancis)
1 mangkuk daun bayam
1/2 mangkuk tauge

Tumbuk halus
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia
Sejemput ikan bilis

(A)
1/2 biji bawangg besar - cincang
1 sdm cili giling
minyak secukupnya untuk menumis

(B)
udang dan sotong secukupnya

(C)
1/2 sdm kicap cair
Serbuk perasa dan gula secukup rasa

Cara
1) Panaskan minyak dan tumis bahan A sehingga kuning. Kemudian masukan bahan yang di tumbuk halus dan tumis lagi sehingga garing.
2) Masukkan bahan B, kacau sebati sehingga sotong dan udang bertukar warna anggaran 2 minit dan masukkan lobak merah. Kacau lagi dan masukkan bihun dan sayuran. 
3) Goreng lagi dan masukkan bahan C. Jangan goreng terlalu lama nanti mihun akan melekit dan lembik. Cukup ianya sudah bercampur dengan sayuran dan secukup rasa tutup api.
4) Dah siap.. boleh dihadangkan.

SELAMAT MENCUBA!




Ogos 05, 2016

CREAMY TUSCAN GARLIC CHICKEN WITH PASTA


Selamat malam semua..
Hari ni sue masak simple je untuk makan sorang. Lama juga tak makan pasta dan bila tengok resepi ni di share dari teman di fb teringin juga nak mencuba. Memandangkan bahan-bahan semua ada cuma italian seasoning dah habis so sue olah sendiri dan kisar menjadi serbuk. Manakala sukatan sue lebihkan sedikit tidak mengikut sukatan dari resepi.  Sue cuma mengikut bahan yang di gunakan sahaja. Sebenarnya seasoning tu memang senang nak dapat di supermarket tapi kalau nak mendapat stok yang banyak boleh buat sendiri. Nanti sue serta bahan seasoning sekali ye! 

Nampak sedap dan bila dan siap masak memang ternyata sedap sekali rasanya. Tak rugi mencuba dan sangat berpuas hati. Cuma ada yang sue tambah memandangkan tak ada stok ayam so sue ganti dengan kiub ayam hihihi.. tak pa lah sama je cuma warnanya  agak kekuningan sedikit tapi yang penting rasa nya memenuhi anak tekak. Nak cuba tak? Rugi tau kalau tak cuba!


CREAMY TUSCAN GARLIC CHICKEN
By: Sue Norrman

Bahan-bahan  
200-300 Spegetti, Fettuccine atau pasta kesukaan anda.
*Rebus ikut arahan di belakang plastik atau kotak pasta*

(A)
2 ketul isi dada - hiris nipis dan toskan
(Resepi asal menggunakan ketulan isi dada terus)
2 sdm minyak zaitun

(B)
4 ulas bawang putih - cincang halus (resepi asal guna serbuk bawang putih)*
400ml heavy krim
200ml air masak (asal stok ayam)
1 ketul kiub ayam
1 1/2 sdt italian seasoning (Sue olah sendiri, resepi kat bawah)
1/2 - 1 cawan parmesan cheese - parut halus
1 botol kecil sun dried tomatoes - sue potong kecil
Garam jika perlu (sue tak letak sebab dah cukup masin dengan parmesan dan kiub ayam)
1/2 sdt gula (sue tambah)
1 mangkuk kecil daun bayam*

Cara
1) Bahan A - panaskan minyak dengan apai sederhana dan masukkan ayam. Goreng sehingga ayam mengeluar air dan bertukar warna. angkat dan ketepikan.
2) Dengan menggunakan pan yang sama, masukkan bawang putih dari bahan B dan tumis sehingga kuning.
3) Kemudian masukkan bahan selebihnya kecuali daun bayam dan kacau sehingga mendidih kecil dan masukkan ayam yang telah di goreng tadi.
4) Kacau sebati selama 2-3 minit masukkan daun bayam, kacau lagi dan tutup api.
5) Hidang bersama pasta kesukaan anda dan pasti nak lagi..


ITALIAN SEASONING HOMEMADE
Bahan-bahan
3 sdm dry oregano
2 sdm dry basil
1 sdm dry thyme
1/2 sdm dry rosemary
*Campur semua dan kisar halus. Simpan dalam bekas kedap udara atau botol untuk kegunaan lain. Untuk lebih tahan simpan dalam peti sejuk*


SELAMAT MENCUBA!

 KRAM

SANDWICH TUNA SEDAP DAN MUDAH


SELAMAT PAGI..
Awal pulak hari ni mengadap pc hihi.. Mata dah tak boleh nak lelap lagi selepas subuh dan sarapan seawalnya hari ni. Tiada yang istimewa cuma sarapan simple dengan sandwich dan almond milk. Roti yang paling sue suka untuk sandwich atau makan kosong sama butter pun sedap. Boleh kenyang makan roti ni sebabnya bahan asas menggunakan carrot, soya beans dan walnut cincang.

Tapi hari ni beralih selera sue buat tuna sandwich pulak dengan strong cheese slice. Sedap!! tapi cheese tu kita slice sendiri nak tebal mana terpulang tapi kalau terlalu tebal pahit weiii.. Kalau somi sue dia tak suka makan cheese yang dah sedia slice di jual sebab katanya tak ada taste tapi sue suka cheese yang mild. Kadang beli yang 15% atau 25% tapi somi sue beli yang 70% fatt.. Pahit nya melekat ke lidah tak nak lah makan selalu. Badan pun naik comel semacam je kan hihi... jom..jom..


SANDWICH TUNA SEDAP
Resepi: Sue Norrman

Bahan-bahan
Roti secukupnya (anggaran untuk 3-4 set) - terpulang nak guna roti apa tapi kalau nak sedap guna wholemeal bread.
Crispy salad secukupnya - nak guna daun salad biasa pun ok.
Tomato - potong nipis
Timun - potong nipis
Sliced cheese secukupnya
Mentega untuk sapuan roti

Inti 
1 tin kecil tuna (guna yang tuna in water) - tapiskan
3 sdm mayonis
1 sdm susu manis
1 sdm creme fraiche boleh tengok CREME FRAICHE 
(kalau tak ada boleh ganti dengan plain yogurt) 
Sedikit lada sulah
Sedikit parutan kulit lemon - kalau tak ada abaikan
 *Satukan bahan basah kecuali tuna sehingga sebati dan cukup rasa. Masukkan tuna dan ratakan. Sedia untuk diguna.*


Cara
1) Potong sisi keras pada roti dan sapu sedikit mentega.
2) Kemudian letak daun salad, tuna sedikit di atasnya, timun dan tomato, sliced cheese, daun salad lagi dan tuna lagi diatasnya. Akhir sekali tutup dengan roti.
3) Kalau nak mudah ketika memotong, cucuk toothpick di 2 bahagian supaya timun dan tomato cantik dan tidak terkeluar ketika di potong.
4) Buat sampai habis dan terpulang pada kreativi sendiri nak atur susun inti dan salad.
5) Tada.. dah siap dan sedia untuk dimakan.

SELAMAT MENCUBA!

KRAM



Ogos 04, 2016

SAMBAL TUMIS UDANG MUDAH DAN SEDAP



Selamat petang..
Hari ni sue entri awal selepas usai semua kerja. Lauk simple dan sedap makan sama nasi panas tapi terlajak pedas la pulak. Cili kering yang sue beli di kedai thai tu memang berapi sangat rasanya. Cili thai kita sedia maklum memang pedas dan cili itu juga mereka kering untuk dijadikan cili kering.

Bila bos tak de di rumah boleh lah kita masak lauk kampung. sebenarnya lama teringin nak makan sambal tumis udang campur petai tapi hari tu ke kedai thai petai pulak habis. Tak apa lah sambal tumis biasa pun ok juga janji sedap.


SAMBAL TUMIS UDANG
Resepi: Sue Norrman

Bahan-bahan
500g udang fresh - Buang janggut dan cuci bersih. kalau yang besar buang tahi dan pasirnya.

Bahan kisar
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
2 batang serai - ambil putih dan hiris halus dahulu
2 biji buah keras

(A)
1/2 inci belacan
1-2 sdm cili giling - nak pedas tambah lagi
Minyak secukupnya untuk menumis

(B)
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit serbuk perasa
2 sdm sos cili
Air asam jawa sedikit
1 biji kecil bawang besar - hiris bulat

Cara
1) Panaskan minyak dengan api sederhana dan masuk bahan A. Tumis sehingga cili garing dan masukkan bahan kisar.
2) Kacau dan tumis lagi sehingga bawang layu dan betul-betul masak sehingga pecah minyak.
3) Masukkan bahan B, kacau sebati dan rasa secukupnya. Kemudian masukkan udang dan kacau lagi.
4) Biarkan ianya mereneh dalam 5-8 minit sehingga udang masak dan tutup api.
5) Sedap di makan bersama nasi panas dan ulaman.

SELAMAT MENCUBA!

KRAM

CHICKEN FLOSS ROLL CAKE... gebu dan sangat sedap!


ASSALAMUALAIKUM...
Apa khabar semua???  Alhamdulillah sue nak share resepi eksperimen yang sue buat 2 hari lepas. Ceritanya bila sue kemas freezer nak clear mana yang dah lama dan terjumpa chicken floss yang suami sue bawa dari medan tahun lepas. Yang semestinya sue check dulu adalah tarikh luput pada plastik dan alhamdulillah masih boleh diguna lagi sehingga desember nanti.

Terfikir juga nak buat apa dengan floss ni. Kalau nak buat roti memang tak ada orang nak makan sebabnya suami sue tak berapa suka makan roti yang ada inti begini. Tak palah fikir sue dan floss tu sue letak dalam bekas biar defrost nanti fikir balik apa nak buat. Bila teringat balik rasanya sue pernah makan ketika mengikut suami ada tugasan di batam 2 tahun lepas. Sue shopping barang keperluan dapur di supermarket dan di luarnya ada kiosk kek yang menjual roll cake ni sedap sangat. Sue beli 3 ketul habis sekali hadap je hmm.. tapi tak ingat apa namanya. Timbul idea nak nak buat dan berdoa semoga olahan kek nya menjadi nanti. Ok set.. 

Alhamdulillah.. untuk percubaan tak sangka menjadi dengan jayanya. Manakala taburan di luar sue buat padas macam buat cara talam berlauk. Syukur sangat eksperimen sue berhasil dan kalau dah cuba pasti nak lagi..hihihi..
So.. jom!!



>> Inilah hasilnya selepas di gulung tapi sedikit tebal pasalnya sue guna loyang 9 inci. Secantiknya guna loyang 10 inci untuk brownies ye dan hasilnya lagi comel.


CHICKEN FLOSS ROLL CAKE
Resepi: Sue Norrman

Bahan-bahan
(A)
4 4 biji telur ayam gred B
50g tepung gandum
1/2 sdm tepung jagung
1 sdm tepung susu
50g gula halus/ kaster
1/2 sdm ovelette

(B)
100ml mentega cair (biarkan sejuk dahulu sebelum di tuang ke dalam adunan kek)

Sampingan
1 biji cili merah - buang biji dan cincang halus
Daun bawang secukupnya - potong halus
Bijan hitam dan putih secukupnya
Chicken floss secukupnya

Sapuan
4 sdm mayonis
2 sdm susu manis
1 sdm lemon jus
*kacau sebati*

Cara
* Panaskan oven pada suhu 170 degree. Sapu loyang 10 inci segiempat (loyang brownies) dengan mentega dan lapik dengan kertas kek*

1) Pukul bahan A sehingga putih dan kembang/ kental dalam 5-7 minit (high speed)
2) Guna senduk kayu/ spatula dan tuang bahan B. Kacau sebati dan rata kemudian tuang dalam loyang.
3) Tabur daun bawang, cili merah dan bijan. Bakar selama 15 dengan menggunakan api bawah dan tambah masa lagi 5 minit menggunakan api atas bawah sehingga masak/ perang.
* Sediakan kertas kek untuk menggulung kek yang sudah masak*
4) Keluarkan kek dari oven, guna pisau dan renggangkan kek dari loyang di sekelilingnya dan terbalikkan terus kek diatas kertas kek yang telah disediakan.
5) Sapu permukaan kek yang telah di terbalik dengan bahan sapuan dan tabur chicken floss.
6) Golong kek dengan menggunakan kertas kek (macam buat sushi) sehingga ke penghujung. Insyallah ianyanya akan melekat dan cantik sekali.
7) Biarkan rehat seketika dalam 10 minit dan boleh di potong. Selepas di potong boleh sapu lagi dengan mayonis dan tabur sedikit chicken floss untuk mendapat rasa yang lebih enak.

SELAMAT MENCUBA!

KRAM

Julai 27, 2016

ACAR TIMUN TUMIS SARAWAK STYLE.. yang pasti sedap diganding dengan keropok.


SELAMAT PETANG SEMUA...
Alhamdulillah.. walaupun kemeriahan raya hampir ke penghujungnya tapi mood raya masih lagi terasa. Bila teringin nak makan semestinya terpaksa kita buat sendiri. Lama benar rasanya tak makan acar timun ni lebih lagi makan dengan keropok.
Kalau di sarawak dulu senang je nak dapat acar ni bila berziarah raya tapi sekarang susah nak jumpa mereka menghidangkan acar begini lagi. Begitu juga di supermarket ada pun harga nya agak mahal dan tak puas makan kalau botol kecil.

Sue memang suka makan acar ni dan kalau buat sendiri memang puas hati. Lebih lagi sekarang sini musim panas dan seronok dapat menjemur timun. Acar ni kalau timun tak di perah dan di jemur ianaya akan berair tapi jemur tu tidak lah sampai kering ye cukup untuk mengeringkan sahaja. Agak-agak dan ok boleh angkat lah. Kalau panas terik 2-3 jam dan cukup.

Sebenarnya acar ni mudah dan bahan-bahan pun simple. Sue masak mengikut citarasa sendiri tapi rasa dan lidah kita berbeza. Ada yang menggunakan rempah ratus juga untuk mendapat aroma. Lain orang lain citarasanya kan? Itu sebenarnya memainkan peranan untuk mendapat rasa yang betul-betul sedap. Kebiasaan rasanya mesti manis dan pedas. Nak tahu resepi jom...





Untuk versi yang basah ACAR TIMUN TUMIS


ACAR TIMUN SARAWAK
Resepi: Sue Norrman

Bahan-bahan
1kg timun - potong 4-5 bergantung pada saiz timun.
(buang empulur tengah dan hiris panjang. Rendam dengan garam dan air ais- Jangan hiris terlalu nipis)
2 batang lobak merah - potong nipis dan hiris panjang


Bahan kisar
7 biji bawang merah 
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 sdm udang kering - rendam dulu
2 biji buah keras

(A)
1-2 sdm cili giling
1/3 sdt serbuk kunyit
 Minyak secukupnya untuk menumis

(B)
Garam sedikit
Gula pasir dan gula merah secukup rasa
Cuka anggaran 1 susu makan - bergantung pada cuka
1 sdm cili sos
1 biji cili merah - hiris halus (kalau suka)

(C)
Sedikit bijan - sangai kuning

Tips>>
*Timun yang telah di rendam tadi di toskan kemudian di perah menggunakan kain kasar yang bersih. Perah jangan terlalu kering ye sebab nanti ianya akan di jemur lagi.
*Tabur atas talam dan jemur selama 1-2 jam bergantung pada cuaca. (jangan jemur terlalu kering)Manakala lobak merah juga di jemur sehingga layu sahaja.
*Bila dan siap semua di jemur baru bermula sessi menumis...


Cara
1) Tumis bahan A sehingga garing dan masuk bahan kisar. Tumis sehingga masak dan pecah minyak.
2) Kecilkan api dan asukkan bahan B, kacau sebati dan rasakan secukupnya. (Lebihkan manis dan ada rasa masam sedikit)
3) Masukkan timun dan lobak merah. Kacau sebati dan biarkan ianya masak dan pekat. (kalau terlalu pekat tambah air sedikit)
4) Rasakan lagi manisnya kalau kurang manis tambah lagi gula merah sehingga cukup rasa dan tutup api. Masukkan bahan C dan kacau sebati.


SELAMAT MENCUBA!


P/S: RASANYA KAN BERKURANGAN BILA DAH DIMASUKKAN TIMUN JUSTERU ITU KENA RASA SEKALI LAGI SELEPAS IANYA SEBATI.


KRAM







Julai 21, 2016

DONUT YOGURT.. tersangatlah gebu dan lembutnya!


ASSALAMUALAIKUM...
Hari ni sue nak kongsi resepi eksperimen yang sangat sedap dan menghasilkan donut yang sangat gebu dan lembut. Semalam sue cuba buat donut yogurt dengan campuran tepung jagung untuk mendapat tekstur yang halus dan lembut. Alhamdulillah.. menjadi dan sedap sangat. Walaupun tak de ring yang mahal di tengah tu tapi hasilnya memuas hati. Yang penting kena uli sampai betul-betul elastik dan lembut kalau nak mendapat hasil yang gebu.

Sue memang suka makan donut tak kesah donut apa pun tapi yang original di salut gula. Kalau yang ada topping coklat bagai memang kurang sambutan tapi sekadar nak mencuba ok lah. Hanya tinggal sebulan lagi sue akan kembali ke malaysia dan terpaksa menghabiskan stok takut nanti lama di tinggalkan jadi tak elok. Kali ni sue balik Insyallah sampai hujung tahun sehingga semua selesai. Doakan perjalanan sue di permudahkan dan Suami sue pula akan ke Japan ada tugasan selama 2 bulan. Rumah kembali sunyi dan kami berlepas pada hari yang sama cuma destinasi berbeza. So.. jom..


DONUT YOGURT GEBU
Resepi: Sue Norrman

Bahan-bahan
(A)
2 kuning telur
1/2 sdm yogurt (original)

(B)
300g tepung roti/ high protein
3 sdm tepung jagung 
2 sdm susu tepung
3 sdm gula halus/ kaster
1 sdt instant yis
3/4 sdt double acting baking powder (kalau tak ada guna 1 1/2 sdt baking powder) 
1/3 sdt bread improver 
1-2 titik butter oil (kalau tak ada ganti esen vanilla)

(C)
100ml air sejuk peti ais
Sedikit pewarna kuning 
( sebatikan)

(D)
1/2 sdt garam
2 sdm mentega/ marjerin

Minyak  secukupnya untuk menggoreng
Gula secukupnya untuk menggolek donut 




Cara
* Kalau menggunakan bread maker masuk bahan A, B, C dan uli sebati baru masukkan D dan uli sehingga elastik  Tapi kalau menggunakan mixer atau uli tangan masuk bahan ikut turutan.*

1) Masukkan bahan seperti pencerahan di atas dan uli sehingga betul-betul elastik.
2) Kemudian tutup dengan kain dan rehat sehingga doh naik 2 kali ganda.
3) Bila dan naik, tumbuk doh untuk buang angin dan timbang setiap satu seberat 65g.
4) Bulatkan doh, tabur sedikit tepung atas talam dan letak doh yang telah di bulat tadi.
5) Tutup doh dengan kain dan rehat lagi selama 20-25 minit sehingga doh naik.
6) Tekan sedikit permukaan doh supaya leper dan buat lubang (Terap dengan penutup botol).
7) Rehat lagi 10 minit sementara menunggu minyak betul-betul panas.
*Guna minyak jangan terlalu banyak dan api sederhana tapi pastikan minyak panas secukupnya*
8) Goreng donut selama lebih kurang 1 minit baru balik sebelah lagi. Balik setiap permukaan sekali sahaja supaya ianya cantik.
9) Setelah habis semuanya biarkan suam seketika boleh lah di golek dengan gula.


SELAMAT MENCUBA!

 KRAM



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...