Jun 22, 2016

KARIPAP KENTANG RANGUP


17 RAMADHAN SUDAH BERLALU...
Alhamdulillah... selamat berbuka puasa dan kami masih menunggu waktu untuk berbuka 5 jam dari sekarang. Ramai yang sibuk buat biskut dan kek tapi sue sibuk buat kudapan hihihi.. Insyallah seminggu sebelum raya rasa nanti kita buatlah sebiji 2 kek dan biskut. Karipap kampung yang rangup untuk kudapan berbuka semalam lagi pun sendirian di rumah masak apa je lah kan. Lebihan karipap sue frozenkan nanti bila-bila teringin boleh goreng balik. Resepi yang mudah dan kita kelim cara manual je. Kita bukan pakar tapi untuk membantu yang perlu tunjuk ajar boleh lah dan sambil membaiki apa yang terkurang. Step by step sue sertakan .. Jom..




KARIPAP KENTANG RANGUP
Resepi: Sue Norrman

Bahan Inti
300g kentang - kupas dan potong dadu kecil. Rebus setengah masak.

(A)
1/2 biji bawang besar saiz kecil - cincang
2 ulas bawang merah - cincang
1-2 ulas bawang putih - tumbuk halus
Minyak secukupnya untuk menumis

(B)
2 sdt serbuk kari (ikan/ayam)
1/2 sdt serbuk cili
1 sdt udang kering - rendam dan tumbuk halus

(c)
1/3 cawan air

(D)
Garam dan gula secukup rasa
1/2 sdt serbuk perasa



Cara

1) Sediakan bahan-bahan untuk menumis


2) Panaskan minyak dan tumis bahan A (bawang merah, besar dan bawang putih) sehingga kuning.


3) Masukkan bahan B, (serbuk kari dan serbuk cili) kecuali udang kering. Kacau sebati sehingga garing dengan api sederhana.


4) Kemudian masukkan udang kering dan tumis lagi dalam 1 minit.


5) Masukkan bahan C, (air) dan kacau sehingga mendidih.


6) Diikuti kentang yang telah direbus dan kacau rata.


7) Bila dah sebati dan empuk masukkan bahan D, (garam, gula dan serbuk perasa). Kacau lagi dan rasakan secukupnya. Boleh lah di tutup api (Lebihkan manis sikit untuk inti ye!


8) Salin kedalam mangkuk dan biarkan sejuk.



UNTUK KULIT KARIPAP
Bahan-bahan
(A)
250g tepung gandum
1 sdt gula pasir
1/2 sdt garam

(B)
100ml  (+-)  air sejuk petiais

(C)
1 1/2 sdm marjerin/ mentega
3/4 sdm minyak masak
*panas kedua bahan sehingga mentega cair*



Cara

1) Satukan bahan A kedalam mangkuk besar untuk mudah menguli doh. Kemudian masukan bahan B, air ke dalam mangkuk dan kacau sehingga sebati.


2) Beginilah kejadiannya seperti serbuk roti ye.


3) Tuang bahan C yang telah dicairkan ketika masih panas dan kacau dengan senduk kayu sehingga sebati dan suam. 


4) Uli sehingga lembut dan bentuk menjadi doh. Bungkus dengan plastik lutsinar dan rehatkan 10 minit.


5) Doh yang telah direhat tadi di potong tiga untuk memudahkan untuk digiling.


6) Tabur sedikit tepung pada permukaan papan canai, Ambil satu doh dan giling dalam 2-3 mm tebal.


7) Terap menggunakan ring mould terpulang pada saiz yang disuka.


8) Ambil sekeping dan giling lagi untuk membesarkan doh. Sebaiknya giling memanjang sedikit supaya cantik selepas di kelim.


9)  Ambil 1-2 sdt inti tadi dan letak di tengah doh yang telah di giling dan tindih rapi sama rata.


10) Beginilah hasilnya selepas ditindih/ lipat dan picit sedikit di hujung supaya ianya bercantum dan nipis untuk memudahkan mengelim.


11) Ok... picit sedikit di penjuru doh seperti cuping dan lipat seperti gambar di atas.


12) Ulang langkah yang sama seperti dalam bulatan diatas. Part mengelim ni sue pun tak berapa pandai tapi belajar dari pengalaman. Insyallah kalau salah tolong tunjuk kan! Kita tak ambil hati malah membina untuk masa depan.


13) Beginilah seterusnya picit macam cuping dan lipat sampai habis.


14) Bila dah siap beginilah rupanya.. Kelim masih belum kemas dan banyak yang harus diperbaiki tapi boleh lah dari tak pandai kan? hihihi...


15) Ulang langkah yang sama dari no 8- 14 sehingga habis. Letak atas talam dan lapik dengan kertas kek atau boleh aje tabur sedikit tepung supaya tidak melekat.

16) Panaskan minyak secukupnya untuk menggoreng dan goreng dengan api sederhana yang betul-betul panas. Goreng sehingga kuning.
*Kalau nak frozen goreng sehingga kering sahaja permukaan kulitnya dan sejukkan terlebih dahulu sebelum dibungkus dan di beku*


SELAMAT MENCUBA!

KRAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...